Sayang, berapa lama kau kenal aku?
Sebelas bulan?
Sebelas tahun?
Mana-mana pun, kau pasti kau kenal aku?
Pasti aku yang dulu dan saat ini adalah aku yang seminda?
Pasti setakat berapa lama yang pernah kau habiskan dengan aku,
itulah kekal diri aku sampai aku dikubur?
Pasti seperti pastinya ada mati, ada hari qiamat, ada syurga neraka?
Sepasti itu?
Untuk kau kata aku begini begitu adalah lawak antarabangsa, sayang.
Jangan badutkan diri; aku sendiri tidak suka menyesal kemudian hari.
Aku kurang gemar orang negatif.
Dengan buruk-sial aku yang subhanallah sedia banyak
sebelum perlu kau ukir satu-persatu sepanjang Tembok Cina ini lagi,
sudah aku kayuh segigihnya untuk tidak jadi pesimis.
Perkara yang tidak elok memang mudah berjangkit, ‘kan? Seperti busuk hati.
Busuk itu menjalar dalam udara, bukan boleh dikekang-kekang dari mengalir.
Sedang Allah yang Maha Hebat pun memandang semua manusia sama; hamba semata.
Kau pula melabel dan merendah orang dengan yakin; kau lebih dari Tuhan aku rasa.
Aku golongan penakut, tidak pernah berani pasti.
Hendak pasti aku “betul semua” tentang “semua orang” dan “semua perkara”
- lagilah aku tidak berani.
(Aku paling takut dipetir.)
Dalam jenis aku yang bisu dan berserah, kau ambil kesempatan.
Tapi maaf- kali ini berambuslah wahai kawan;
aku jijik dengan orang yang zahirnya manusia, batinnya Tuhan.